Nazri sanggup tak dibayar gaji jadi duta besar AS

Nazri sanggup tak dibayar gaji jadi duta besar AS

Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak menolak jika kerajaan memberikan gaji kepadanya.

Wisma Putra baru-baru ini mengumumkan bekas menteri undang-undang, Nazri Aziz dilantik sebagai duta besar ke Amerika Syarikat.
PETALING JAYA:
Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS), Nazri Aziz menegaskan bersedia tidak menerima gaji dalam melaksanakan tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau juga tidak menolak jika kerajaan memberikan gaji bagi jawatan itu.

“Saya terima jawatan ini bukan kerana duit. Macam bekas duta kata rugilah calon lain tak dapat duit, mungkin gaji tinggi agaknya, saya pun macam perdana menteri saya tak perlu gaji, saya adalah duit sikit,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau menzahirkan hasrat itu bagi mengikut jejak Anwar Ibrahim yang tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri.

“Saya tak perlu kepada gaji, mungkin juga sebab difikirkan saya ada tugas tertentu yang boleh saya berikan, itu sebab mereka putuskan (lantik saya).

“Tapi, kalau (kerajaan) nak bagi (gaji) kita ambil, saya bukan lagi ahli politik, wang bukan matlamat. Alasan mereka ialah kerana pelantikan saya menghalang pegawai tadbir daripada mendapat jawatan itu, maknanya nak kan duit, saya tak begitu.”

Pada masa sama, bekas menteri undang-undang dan menteri pelancongan itu meminta pihak lain tidak mempersoalkan pelantikannya sebagai duta AS kerana beliau bebas daripada elemen nepotisme, kronisme mahu pun favouritisme untuk jawatan tersebut.

Beliau juga mendedahkan sudah mengadakan pertemuan dengan Anwar mengenai pelantikan sebagai duta, Disember lalu.

“Dalam pertemuan itu, saya ada beritahu sebagai sahabat dan sebagai kawan, saya kata kalau beliau merasakan pelantikan saya ini mendatangkan beban kepada beliau, jangan lantik saya. Ini memang saya beritahu dia.

“Ya, saya teruja, seronok, gembira apatah lagi beliau perdana menteri, tapi saya beritahu kalau pelantikan saya ini menjejaskan kredibiliti beliau, menjejaskan kerja beliau, jangan lantik saya, itu saya ada beritahu dia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.