Tahanan boleh diselamatkan jika darah beku dirawat segera, mahkamah diberitahu

Tahanan boleh diselamatkan jika darah beku dirawat segera, mahkamah diberitahu

Pakar patologi berkata, K Roopan meninggal dunia akibat trombosis vena dalam di bahagian bawah kaki kiri, yang menyebabkan embolisme pulmonari.

K Roopan, 25, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 21 Jun 2021, selepas tidak sedarkan diri dalam sel beberapa jam sebelum itu. (Gambar Reuters)
SHAH ALAM:
Mahkamah koroner diberitahu kematian seorang tahanan di Penjara Kajang boleh dielakkan, jika masalah darah bekunya dirawat lebih awal.

K Roopan, 25, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 21 Jun 2021, selepas tidak sedarkan diri dalam sel beberapa jam sebelum itu.

Dia meninggal dunia sehari selepas keluar dari hospital sama, setelah menjalani rawatan selama empat hari kerana kesukaran bernafas.

Pakar patologi, Dr Lee Jiun Yih memberi keterangan bahawa punca kematian Roopan ialah trombosis vena dalam (DVT) di bahagian bawah kaki kiri, yang membawa kepada embolisme pulmonari.

DVT ialah darah beku yang terbentuk di vena dalam, biasanya di kaki atau pelvis, tetapi juga boleh berlaku di lengan.

“Ketulan (darah beku) itu pecah dan bergerak ke paru-paru yang mengakibatkan kesukaran penghantaran oksigen ke paru-paru dan seterusnya menyebabkan kematiannya akibat hipoksia (kekurangan oksigen dalam tisu badan),” katanya di hadapan Koroner Rasyihah Ghazali.

Lee kemudian menjelaskan, rawatan awal dengan menyediakan antikoagulan (ubat mencegah pembekuan darah) untuk menyuraikan darah beku itu boleh menghalang keadaannya bertukar teruk.

“Bagi embolisme pulmonari, jika rawatan diberikan lebih awal, kadar untuk hidup adalah tinggi. Selain memberi rawatan, kadangkala ia memerlukan pembedahan untuk membuang darah beku itu,” katanya.

Seorang lagi saksi, Dr Solehah Kamaruzaman berkata, Roopan sudah meninggal dunia ketika dikejarkan ke jabatan kecemasan Hospital Kajang pada 21 Jun lalu.

Solehah mendakwa surat rujukan doktor penjara menyatakan Roopan tiada denyut nadi, manakala tanda vital lain tidak dapat dikesan walaupun selepas 30 minit CPR (resusitasi kardiopulmonari).

Inkues bersambung esok.

Roopan sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah pada 2017 atas pembunuhan tiga individu di rumah jirannya di Dengkil pada 2013, ketika berusia 17 tahun.

Dia meninggal dunia lapan hari sebelum rayuannya, yang ditetapkan didengar pada 29 Jun 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.