Ceroboh gudang guna pedang samurai, 3 lelaki dicekup

Ceroboh gudang guna pedang samurai, 3 lelaki dicekup

Polis berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik, selain positif dadah jenis methamphetamine.

Polis percaya tiga suspek terbabit aktif melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Teluk Panglima Garang.
SHAH ALAM:
Polis menahan tiga lelaki tempatan atas cubaan menceroboh sebuah gudang simpanan barangan keperluan harian menggunakan pedang samurai, playar dan pemotong besi di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Teluk Panglima Garang pada 3 Feb lalu.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada 3.45 pagi daripada pengurus gudang yang juga lelaki tempatan berumur 33 tahun, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi pada 4 pagi, polis menahan semua suspek di sekitar kawasan Teluk Panglima Garang dan merampas sebatang pemotong besi dan playar, sebilah pedang samurai bersarung, serta sebilah pedang samurai tanpa sarung.

“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur 28 sehingga 33 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik, selain positif dadah jenis methamphetamine hasil ujian air kencing.

“Mereka dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Teluk Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan.

Semua suspek direman empat hari untuk disiasat bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pencerobohan.

Dalam kes berasingan, polis memberkas lima lelaki tempatan yang disyaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kampung Medan, Teluk Panglima Garang pada 10 Feb lalu.

Bertindak atas maklumat, dua suspek ditahan di sekitar Sungai Kapar, Klang pada 5 petang semalam dan hasil sosial siasat, polis menangkap tiga lagi rakan suspek di kawasan Teluk Panglima Garang kira-kira sejam setengah kemudian.

Ridhwan berkata polis merampas perkakas seperti mesin gerudi tanpa wayar, pemotong jubin, tukul putar tanpa wayar, lima telefon pintar, dan seunit gari jenama Chicago.

“Hasil semakan mendapati kelima-lima suspek itu berumur 27 hingga 37 tahun, dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan tiga lagi pembaiki pendingin hawa. Semuanya mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Mereka direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu pecah rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.