
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, cadangan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akhirnya boleh membawa kepada naungan politik dan budaya “rent-seeking”.
Walaupun gesaan Fahmi berniat baik, tetapi katanya, tanggapan perniagaan “membantu” Ahli Parlimen di kawasan mereka perlu dinyatakan dengan jelas supaya tidak menggalakkan hubungan peribadi ahli politik dan perniagaan, selain menghalang usaha berkaitan dasar yang membolehkan penyertaan dan pengawasan orang ramai.
“Sejarah Malaysia menunjukkan bagaimana hubungan peribadi antara ahli politik dan taikun di sebalik pintu tertutup boleh menyebabkan peningkatan ‘rent-seeking’, kronisme dan naungan politik dalam mendapatkan kontrak kerajaan.
“Satu daripada contoh senario ‘politik wang’ membabitkan kes mahkamah berprofil tinggi Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengaku membayar puluhan juta ringgit kepada hampar sedozen ahli politik dikatakan ‘sumbangan politik’.”
UKSB dilantik kerajaan pada 2016 untuk mengendalikan sistem visa luar negara (VLN) bagi pelancong China dan terbabit dalam kes rasuah melibatkan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid, yang didakwa menerima rasuah daripada UKSB untuk memberikan kontrak VLN itu, dibebaskan daripada dakwaan berkenaan, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.
C4 berkata, hubungan ahli politik dan komuniti perniagaan perlu dijauhi demi kepentingan terbaik negara.
“Perkara yang tidak perlu ditangguhkan lagi ialah Akta Pendanaan Politik dan Pengisytiharan Harta dibentangkan sebagai sebahagian agenda pembaharuan utama di bawah pentadbiran semasa.”
Pada 3 Feb lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan mengurangkan peruntukan pembangunan bagi Ahli Parlimen hampir 70%, daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta akibat kekangan ekonomi.