
Dalam kenyataan, kementerian berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan menegaskan agama tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menggugat keharmonian kaum.
Kementerian berkata, siasatan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sesiapa didapati mempersendakan mana-mana agama.
“KPM tidak akan berkompromi dalam hal-hal melibatkan pengurusan sekolah khususnya terhadap perkara yang boleh menggugat perpaduan kaum dan agama,” katanya.
Pada masa sama, KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis sekiranya terdapat laporan dibuat mengenai isu tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin berkata, seorang ibu membuat laporan polis mendakwa guru lelaki berusia 40-an mendorong anak lelakinya yang berusia 15 tahun memeluk Islam.
“Sehubungan dengan itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam,” katanya.