
Mereka akui perasaan bercampur baur apabila memikirkan keselamatan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang akan melaksanakan misi penting itu.
Isteri salah seorang anggota, Salbiah Saleh, 38, berkata biarpun banyak perkara bermain di fikirannya namun dia tetap bangga apabila suaminya, Shahronee Shah Abd Manap, 38, terpilih.
“Saya gembira dan sedih. Namun, tetap bangga dia ke sana. Berdebar pun ada, macam-macam yang difikirkan sebenarnya,” katanya ketika ditemui mengiringi suaminya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Shahronee percaya persediaan dari segi fizikal dan mental serta sikap tawakal dapat membantunya melalui misi di sana.
“Persediaan kita dari segi fizikal dan persiapan barang. Apa yang penting persiapan mental kerana perlu tinggalkan keluarga. Namun, saya tidak risau, hanya bergantung kepada Tuhan,” katanya.

Perasaan sama turut dirasai Norshaza Ramli, 37, yang mengakui terkejut apabila mendapat tahu suaminya, seorang anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa), Muhammad Syabil, 38, ditugaskan untuk misi itu pada saat akhir.
Dia yang hamil anak kelima berkata suaminya dimaklumkan terpilih menyertai misi itu pada 8 pagi semalam sebelum bertolak malam tadi.
“Pada mulanya saya terkejut kerana semua anak dia yang uruskan namun redha dan berdoa dia pergi dan balik dalam keadaan selamat,” katanya.
Dalam pada itu, seorang anggota Unit Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mark Anderson, 31, terkilan tidak sempat bertemu isteri dan anak sebelum berangkat ke Turki.

Mark berkata dia belum berpeluang bertemu keluarganya sejak sebulan lalu kerana menjalani kursus di Genting Highlands sebelum dimaklumkan terpilih ke Turki.
Katanya, dia berasa berat hati untuk meninggalkan isteri yang hamil dan dua anak masih kecil namun perlu tabah kerana ia menjadi tugas penyelamat.
Malaysia sehingga kini menghantar 140 anggota SMART ke kawasan bencana di Turkiye, yang dipecahkan kepada beberapa unit pasukan kecil mengikut objektif dan keperluan yang berbeza.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dilapor berkata, kumpulan penyelamat terbabit ditempatkan di pelbagai lokasi, terutama di Gaziantep dan Adana.
SMART merupakan pasukan khas mencari dan menyelamat yang ditubuhkan di bawah Majlis Keselamatan Negara Malaysia, dengan anggota daripada bomba, polis, dan tentera.