
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata keberkesanan tiga jawatankuasa itu sebahagian besarnya ditentukan oleh keahliannya dan sebanyak mana nasihat diberikan akan diguna pakai oleh menteri.
“Jika lantik ‘pak turut’ atau jika menteri tidak dengar langsung nasihat jadi semestinya jawatankuasa berkenaan tidak akan berfungsi,” katanya.
Selasa lalu, susulan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Komunikasi Strategi, dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik, bagi menyelaraskan dasar antara semua parti dalam gabungan.
Chin berkata pembentukan tiga jawatankuasa itu menunjukkan Pakatan Harapan (PH) belajar daripada kesilapannya ketika kali pertama memerintah pada 2018, apabila “setiap parti komponen buat hal sendiri”.
Beliau berkata kelemahan penyelarasan mungkin menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH ketika itu.
“Kini mereka mahu memastikan kerajaan perpaduan berjalan lancar dan parti di dalamnya tidak bertelagah.”
Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata jawatankuasa strategi boleh membantu mengelak kenyataan bercanggah.
Beliau memetik sebagai contoh, pandangan berbeza sama ada Sabah dan Sarawak sudah diberi status “wilayah”, seperti didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Bulan lalu, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, perubahan status itu hanya cadangan dan belum diwartakan.
“Anwar mungkin berharap kenyataan bercanggah seperti itu tidak akan dikeluarkan lagi kerana pembangkang mungkin menggunakannya untuk manfaat mereka.”