
Majistret Iskandar Zainol membebaskan R Sivaraj selepas pengadu kes itu yang juga bekas peguam, tidak hadir di mahkamah hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Wafi Husain memohon tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan untuk membolehkan pihaknya mengeluarkan sapina untuk kehadiran pengadu dalam prosiding seterusnya.
Bagaimanapun peguam bela Ravinder Singh Dhaliwal berkata anak guamnya telah dibelenggu kes itu selama tiga tahun, seterusnya beliau memohon Sivaraj dibebaskan.
Iskandar kemudian memerintahkan Sivaraj dibebaskan. Ini bererti dia tidak boleh lagi didakwa atas tuduhan sama selepas ini.
Peguam Chan Yen Hui yang bertindak sebagai peguam pemerhati wanita terbabit berkata, mangsa tidak disapina untuk menghadiri prosiding itu.
Katanya, sapina wajib dikeluarkan untuk saksi menghadiri prosiding mahkamah, dan pengadu memerlukannya untuk diberi pelepasan kerja oleh majikannya.
Sivaraj didakwa pada 2 Mac 2020 dan dilepaskan dengan jaminan RM3,000.
Dia didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap wanita itu di Hotel Armada, antara jam 11.35 malam hingga 12.20 tengah malam pada 22 Jun 2019.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.