
Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet) berkata dengan adanya wang itu, tahanan tidak perlu terus berada dalam penjara sehingga kes mereka diselesaikan di mahkamah.
Jurucakapnya Charles Hector berkata Malaysia wajar mencontohi Thailand, yang memberikan bantuan undang-undang kepada golongan berpendapatan rendah. Ini supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah, selain dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan selesai.
“Kira-kira 40% tahanan yang belum dibicarakan atau disabitkan ditahan dalam penjara yang sesak dengan sekitar 76,336 tahanan.
“Kesesakan dalam penjara dapat diselesaikan jika kebanyakan kes praperbicaraan atau reman dibenarkan jaminan sehingga prosiding terhadap mereka selesai,” katanya dalam kenyataan.
Hector berkata ramai tahanan tidak mampu membayar jaminan kerana tiada kenalan dan ahli keluarga yang cukup mampu atau sanggup membayarnya.
“Kita perlu mengakui ada yang tidak bersalah namun membuat pengakuan bersalah semata-mata untuk menjalani hukuman dan meneruskan kehidupan.
“Apabila perbicaraan ditangguh-tangguh, ramai yang tidak bersalah terus ditahan dalam penjara dan akhirnya mengaku salah. Mereka mengabaikan usaha mendapat keadilan menerusi perbicaraan,” katanya.
Beliau turut menggesa penambahan hakim dan mahkamah supaya kes reman dapat dikurangkan.
Tambahnya, walaupun skim Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan membolehkan peguam menyediakan bantuan dalam hal jenayah, ini secara umumnya tidak merangkumi warga asing.
“Ramai tahanan adalah warga asing, dan kami menggesa kerajaan menyediakan bantuan guaman untuk semua kerana ini juga akan memastikan perbicaraan adil lagi pantas,” katanya.