
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, potongan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu mampu menjejaskan prestasi Ahli Parlimen dan mencabar untuk wakil rakyat bagi kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Apabila Ahli Parlimen tidak mampu memenuhi pelaksanaan projek, orang awam akan menganggap mereka tidak berkesan, dan ini akan menjejaskan persepsi mereka terhadap kerajaan,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertimbangkan semula perkara itu dan memastikan pengurangan elaun berkenaan tidak lebih daripada 50%.
Jumaat lalu, Anwar berkata pengurangan elaun itu bertujuan mengawal kewangan negara dan dilaksanakan secara berperingkat.
Bagaimanapun, peruntukan tambahan akan dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan mendesak, seperti baik pulih prasarana.
Bekas Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking, berkata kerajaan patut memberikan RM2.5 juta dan bukannya RM1.3 juta, selain melaksanakan audit secara berkala untuk kerajaan dan umum memantau perbelanjaan.
Katanya, ini lebih baik daripada memotong peruntukan yang mungkin menjejaskan penduduk di kawasan terkesan.
Bagaimanapun, jika kerajaan tetap mahu mengurangkan peruntukan berkenaan, jabatan kerajaan di setiap daerah mesti bertindak lebih pantas membantu rakyat.
Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Alexander Nanta Linggi, berkata pengurangan elaun itu akan memberi kesan lebih besar terhadap kawasan pedalaman, dan menjejaskan kualiti perkhidmatan Ahli Parlimen.
Penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara bagaimanapun berpendapat penjimatan RM2.5 juta bagi setiap kawasan dapat dialihkan kepada perkara yang lebih memerlukannya.
“Tidak semua Ahli Parlimen memerlukan atau menggunakan peruntukan RM3.8 juta bagi kawasan mereka. Ada yang mungkin menggunakannya untuk memperkukuh sokongan dan bukannya memenuhi keperluan kawasan mereka,” katanya.
Azmi berkata, keputusan Anwar itu akan membantu mengekalkan populariti kerajaan perpaduan, bukan saja dalam kalangan pelbagai parti politik yang menyokongnya malah juga orang ramai.