Polis buka 5 kertas siasatan berkait penipuan e-ganjaran

Polis buka 5 kertas siasatan berkait penipuan e-ganjaran

Polis menyiasat kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran yang ditawarkan melalui aplikasi dalam talian.

Siasatan mendapati aplikasi itu diperkenalkan sejak 2020 dan menawarkan pembelian barangan serta perkhidmatan melalui e-dompet, kata Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin.
PETALING JAYA:
Polis membuka lima kertas siasatan berhubung kegiatan penipuan tawaran e-baucar atau e-ganjaran ditawarkan melalui aplikasi dalam talian yang dilaporkan melibatkan kerugian kira-kira RM508,261.09.

Setiausaha Polis, Noorsiah Saaduddin, berkata siasatan mendapati aplikasi itu diperkenalkan sejak 2020 dan menawarkan pembelian barangan serta perkhidmatan melalui e-dompet.

Beliau berkata, pengguna berminat menggunakan aplikasi berkenaan perlu mendepositkan sejumlah wang.

“Bagi setiap pembelian dibuat, pengguna diberikan penjimatan sehingga 50% dan turut menerima mata ganjaran yang seterusnya boleh ditebus menerusi pembelian barangan ataupun wang tunai dikreditkan dalam akaun.

“Pada peringkat awal, segala urusniaga melalui aplikasi ini penebusan mata ganjaran berjalan lancar, namun sejak penghujung 2022, masalah mula timbul apabila pengguna gagal membuat pembelian dan penembusan mata ganjaran tidak dapat dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

FMT sebelum ini melaporkan, satu aplikasi dalam talian yang menawarkan e-ganjaran memperdaya orang ramai sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Ia didakwa menggunakan nama individu kenamaan termasuk kerabat dan agamawan terkenal bagi menarik pengguna.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim, berkata setakat ini pihaknya dimaklumkan seramai 80 mangsa membuat laporan polis.

“(Sindiket) ini menggunakan nama kerabat diraja, pegawai polis berpangkat tinggi, dan pendakwah terkenal, membuatkan mangsa berasa yakin sehingga diperguna sindiket penipuan,” katanya pada sidang media di IPD Sentul, yang dihadiri 40 mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.