
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali, berkata 75 anggota Smart digerakkan ke Turki malam ini menerusi penerbangan Turkish Airlines dengan membawa bersama peralatan akan digunakan di dalam operasi itu.
“Proses penghantaran pasukan Smart dibuat setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada kerajaan Turki,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan Smart menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.
Gempa bumi kuat melanda wilayah selatan Turki Kahramanmaras, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.
Setakat ini Kementerian Luar (Wisma Putra) melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan.