
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Sazalee Adam berkata pasukan penyelamat masih cuba membuat pencarian di sekitar kawasan isyarat telefon berkenaan yang masih berfungsi ketika ini.
“Isyarat telefon itu ada ‘on and off’, sekejap berdering sekejap berhenti.
“Namun, kita percaya kemungkinan besar telefon itu berada di dalam beg yang hanyut dibawa arus, bukannya berada pada badan mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengenai perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR), beliau berkata usaha telah dilakukan meliputi jarak sejauh 20km di sepanjang sungai dari lokasi kejadian hingga kawasan berdekatan Lebuh Raya KESAS dan perangkap sampah di Puchong.
Beliau berkata operasi dibahagikan kepada empat pasukan menggunakan pelbagai aset termasuk bot, kayak dan empat unit dron bagi memantau permukaan sungai, namun setakat ini masih belum menemukan sebarang petunjuk positif.
“Pencarian di permukaan dilakukan memandangkan paras air masih tinggi sekitar dua meter. Namun, usaha ini berdepan kesukaran kerana tiada sebarang petunjuk termasuk kenderaan jenis Pajero milik mangsa ditemukan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata operasi SAR ditangguhkan pada 6.30 petang ini dan akan disambung semula pagi esok dengan penambahan kekuatan anggota serta aset termasuk anjing pengesan polis.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah diberi penerangan jelas oleh polis mengenai status terkini operasi bagi meredakan kegusaran.
Sementara itu, Komander Operasi, Rahmat Kamarulzaman dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata SAR hari ini turut memeriksa laluan keluar masuk air di sepanjang kawasan pencarian.
“Bagaimanapun, operasi penyelaman bergantung sepenuhnya kepada keadaan air esok. Jika air kembali normal, kita akan turunkan penyelam di lokasi-lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Kejadian berlaku pada kira-kira 5.30 petang semalam itu turut melibatkan 11 mangsa lain yang terperangkap di bawah jambatan, namun kesemua mereka berjaya diselamatkan oleh JBPM.