
Dua kerusi tersebut ialah Lembah Jaya dan Sementa, masing-masing disandang Haniza Mohamed Talha dan Daroyah Alwi.
Presiden Larry Sng berkata, langkah bertanding di dua kerusi DUN berkenaan hanya cadangan awal dan belum ada perbincangan rasmi dengan pimpinan tertinggi PH.
“Sekarang PBM ada dua kerusi DUN, tetapi kalau mahu bertanding, mungkin akan kekalkan kerusi yang ada.
“Saya harap ada jalan penyelesaian untuk hal ini kerana kami semua bersama-sama dalam kerajaan perpaduan,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Sng menafikan dakwaan bahawa PBM terpaksa bergantung kepada kekuatan PH setelah tidak diterima masuk sebagai komponen Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Memang sebelum ini ada rancangan bersama BN, setakat ini kita pun masih ada surat memohon menyertai BN tetapi belum ada keputusan.
“Rancangan sekarang hanyalah bekerjasama dengan PH untuk PRN supaya masing-masing menang,” katanya.
Pada PRU14, Haniza dan Daroyah menang dua kerusi DUN tersebut atas tiket PKR sebelum mereka meninggalkan parti itu. Haniza kemudian menyertai Bersatu manakala Daroyah memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas. Kedua-duanya menyertai PBM tahun lepas.
Kelmarin, PBM Selangor membubarkan semua jawatankuasa bahagian dan sayapnya kerana pimpinan negerinya hilang kepercayaan terhadap Sng.
Pada PRU15, enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing dan tempoh penggalnya dijangka tamat tahun ini, membuka jalan untuk PRN diadakan.