Pensyarah cadang waktu sekolah mula 8 pagi

Pensyarah cadang waktu sekolah mula 8 pagi

Pensyarah UKM Anuar Ahmad berkata kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati kepada guru, ibu bapa dan anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi.

Pensyarah UKM Anuar Ahmad berkata jika kerajaan prihatin dengan kesejahteraan rakyat, lakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan dengan mulakan sesi persekolahan pada 8 pagi.
PETALING JAYA:
Kerajaan disaran menukar waktu mula persekolahan sedia ada di Semenanjung kepada 8 pagi bagi meringankan beban guru, ibu bapa dan pelajar.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati kepada guru, ibu bapa dan anak yang terpaksa bangun seawal 4.30 pagi.

“Jika sekolah di bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal 6 pagi untuk ke sekolah. Di sekolah pedalaman pula, dalam keadaan hari masih gelap, anak kecil terpaksa meredah jalan becak dan berlumpur untuk ke sekolah.

“Ada anak kecil terpaksa meredah denai belukar, ada yang terpaksa berperahu ke sekolah,” katanya di Facebook.

Anuar Ahmad.

Beliau berkata, disebabkan waktu persekolahan sedia ada bermula awal pagi, ada pelajar dan guru tidak sempat bersarapan bersama keluarga sebelum ke sekolah.

“Jika kerajaan prihatin dengan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan rakyat, apa salahnya lakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan rakyat dengan mulakan sesi persekolahan pada 8 pagi,” katanya.

Anuar berkata, cadangan itu juga bagi meraikan konsep Malaysia Madani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan slogan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.