
Bercakap di program Breakfast Grille bersama BFM, beliau berkata tidak ada gunanya merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk memecatnya apabila mereka yang mahu dia keluar kekal dalam parti.
“Merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta merta,” katanya.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Rembau itu menambah, beliau tidak berdendam dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.
Khairy dipecat pada Jumaat kerana melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, yang turut dipecat parti dan bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, yang digantung keahlian enam tahun, turut bersetuju dengannya bahawa tidak ada gunanya membuat rayuan apabila mereka dalam parti “berniat untuk membuang kami”.
Khairy kemudian mengulangi justifikasinya untuk dua jawatan teratas dalam parti itu dipertandingkan dalam pemilihan Umno akan datang.
“Saya hanya mahu pertandingan terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi kerana Zahid memimpin ketika Umno menunjukkan prestasi pilihan raya terburuk pada PRU15,” katanya merujuk kepada 26 kerusi yang dimenangi parti itu, menandakan jumlah paling rendah pernah diperolehi di Dewan Rakyat.
Pada perhimpunan agung baru-baru ini, Umno menerima usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi, sekali gus memastikan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan akan kembali tanpa bertanding pada pemilihan parti, yang dijadualkan pada 18 Mac.
Mengenai langkah seterusnya atau prospek menyertai parti lain, Khairy berkata beliau akan mengambil masa untuk memikirkannya.
Katanya, beliau menerima banyak tawaran dan jemputan serta akan mendengar setiap satunya.
“Saya mahu mengambil masa untuk memikirkan mengenai bila dan jika saya akan kembali ke politik,” katanya.