
Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pasukan pendakwa raya diarahkan untuk menarik balik rayuannya berhubung perkara itu.
“Notis pemberhentian difailkan pada Jumaat lepas,” katanya kepada panel dipengerusikan oleh Hakim Kamaludin Said.
Timbalan pendakwa raya berkata, jumlah yang dilucuthak juga akan dikembalikan kepada 11 responden.
Kamaludin, yang bersidang dengan Hakim Abu Bakar Jais dan Supang Lian, kemudian membatalkan rayuan.
Jumlah itu, yang diterima 11 responden kira-kira 10 tahun lalu disenaraikan seperti berikut: Jakel Trading Sdn Bhd (RM10,747,042.77), Mediaedge CIA Sdn Bhd (RM4,631,602), AGA Touch Sdn Bhd (RM3 juta) , Barisan Nasional Johor (RM957,395.65), Umno Pekan (RM700,000), Umno Johor (RM677,872.55), Jakel Trading (RM628,314), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (RM188,132.26), Yayasan PBAKM (RM100,000), Kasitah Gaddam (RM100,000) dan Sim Sai Hoon (RM41,261.64).
Empat Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur pada 2021 membenarkan kerajaan melucut hak wang daripada 11 responden.
Selain itu, Mahkamah Tinggi juga menolak permohonan kerajaan untuk menyita RM2.1 juta lagi daripada dua parti politik, Parti Bersatu Rakyat Sabah (RM1 juta), MCA Pahang (RM835,258.19) dan tujuh individu (jumlah keseluruhan RM265,146.16).
Kes itu juga sedang menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Kamaludin berkata, pihak pendakwaan juga mesti bertindak secara konsisten dalam tiga rayuan itu.
Dalam jawapannya, Kamal Baharin berkata peguam dalam tiga kes itu bebas untuk membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam MCA Pahang, Ben Chan, berkata beliau berharap AGC akan mempertimbangkan representasi anak guamnya dengan baik.
“Kami berharap AGC akan menerima representasi kami,” katanya kepada FMT selepas prosiding.
Semasa pengurusan kes kemudiannya, ketiga-tiga mereka dibenar memfailkan representasi masing-masing sehingga 10 Feb.
Mahkamah dijadualkan mendengar kes pada 28 Mac.
Pada Jun 2019, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula RM270 juta yang didakwa dipindahkan daripada akaun bank Najib Razak.
Semua 14 rayuan hari ini adalah daripada 41 kes tersebut.
Permohonan lucut hak itu difailkan bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang biasanya dikenali sebagai “Amla”.
Penerima terbesar adalah Umno bahagian dan cawangan, mendapat RM212 juta.
Sebahagian daripada penerima sudah memulangkan wang itu kepada SPRM.
Najib menghadapi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.