Bekal pekerja asing guna dokumen palsu, 2 warga Bangladesh ditahan

Bekal pekerja asing guna dokumen palsu, 2 warga Bangladesh ditahan

Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket mengenakan caj antara RM5,000 dan RM6,000 setiap seorang warga asing bagi mendapatkan pelekat PLKS.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket itu beroperasi sejak lapan bulan lalu, mengaut keuntungan kira-kira RM880,000.
PETALING JAYA:
Dua warga Bangladesh disyaki dalang sindiket membekal tenaga kerja warga asing dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu ditahan dalam empat serbuan dilakukan Jabatan Imigresen di Klang, semalam.

Sindiket tersebut didakwa menyasarkan warga asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah serta sebarang dokumen perjalanan sebelum membekalkan mereka kepada mana-mana syarikat atau majikan yang terdesak.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata sindiket berkenaan telah beroperasi sejak lapan bulan lalu dan mengaut keuntungan kira-kira RM880,000.

Beliau berkata, sindiket mengenakan caj antara RM5,000 dan RM6,000 setiap seorang warga asing bagi mendapatkan pelekat PLKS.

Dalam serbuan semalam, enam lelaki termasuk lima warga Bangladesh dan seorang wanita tempatan yang berkahwin dengan salah seorang warga Bangladesh terlibat, ditahan.

“Pasangan terbabit menubuhkan syarikat pembinaan bagi mengaburi pihak berkuasa terhadap kegiatan mereka membekalkan tenaga kerja asing kepada syarikat dan majikan terdesak.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 62 pasport pelbagai negara, 17 pasport Bangladesh palsu, 13 PLKS palsu, wang tunai sebanyak RM234,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux turut disita,” katanya menurut Bernama.

Khairul Dzaimee berkata, kesemua individu terbabit disiasat mengikut Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya manakala dua warga tempatan pula sedang menjalani siasatan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.