Kenyataan KPM tak konsisten dengan penjelasan pengetua, kata PIBG

Kenyataan KPM tak konsisten dengan penjelasan pengetua, kata PIBG

Mesyuarat PIBG juga tidak pernah membincangkan dua siri bengkel berkenaan dan tiada kelulusan peruntukan untuk program tersebut.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Johor Bahru berkata, perkara itu satu pelanggaran kepercayaan yang serius,
PETALING JAYA:
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Johor Bahru yang menganjurkan bengkel SPM untuk pelajar Islam sahaja berkata, kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkara itu tidak konsisten dengan penerangan yang diberikan oleh pengetua.

Persatuan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat PIBG tidak pernah membincangkan dua siri bengkel berkenaan dan tiada kelulusan peruntukan untuk program tersebut.

“Kami menganggap ini sebagai satu pelanggaran kepercayaan yang serius,” katanya.

Mereka berharap PIBG dan pentadbiran sekolah dapat memastikan segala perancangan dan komunikasi pada masa hadapan dapat dibuat secara bersama dan telus.

Hal ini menurut mereka adalah bagi memastikan kejadian yang sama dapat dielakkan.

Semalam, KPM memaklumkan, tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Johor.

Pada masa yang sama, KPM menjelaskan, program tersebut diadakan susulan dialog prestasi yang dibuat oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bharu.

Susulan itu, PIBG sekolah terbabit beserta beberapa pihak lain menjalankan bengkel tersebut sebagai persediaan buat para pelajar menjelang peperiksaan SPM.

Sebelum ini seorang pengguna Twitter @sangria200 mendakwa sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan bengkel peperiksaan SPM dengan mengumumkannya hanya untuk pelajar mata pelajaran agama Islam sahaja.

Dia turut mendakwa bengkel itu meliputi mata pelajaran seperti Kimia dan Matematik Tambahan dan pelajar bukan Islam langsung tidak dimaklumkan mengenainya.

Selain itu, PIBG sama turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) kerana mengadakan mesyuarat bersama bagi menyelesaikan isu tersebut.

Pada masa yang sama mereka juga menyatakan setinggi-tinggi penghormatan dan rasa syukur kepada Sultan Johor atas sokongan yang diberikan baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.