Lelaki Palestin ditahan intai rumah pelajar wanita

Lelaki Palestin ditahan intai rumah pelajar wanita

Pelajar Palestin itu dipercayai mengintai melalui tingkap tandas rumah pengadu dan turut melarikan sehelai seluar.

Polis berkata, lelaki Palestin itu ditangkap selepas seorang jiran mangsa melihat suspek membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pelajar lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai dan mencuri seluar di sebuah rumah didiami pelajar wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat sini.

Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya, lapor Bernama.

“Lelaki tersebut telah membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu.

“Perbuatan lelaki itu berjaya dirakam oleh seorang jiran pengadu menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya.

Katanya, pelajar wanita itu kemudian memeriksa bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya hilang.

“Ketika kejadian itu juga tiada sesiapa berada di dalam tandas.

“Lelaki Palestin itu ditahan pada kira-kira 4 petang tadi di Mutiara Ville dan polis telah merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan suspek. Bagaimanapun, seluar rakan serumah pengadu yang dicuri tidak ditemui,” katanya.

Menurutnya, Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.