Dasar Perumahan Negara dikaji, ambil contoh kejayaan di Singapura

Dasar Perumahan Negara dikaji, ambil contoh kejayaan di Singapura

Dasar perumahan negara jiran itu berjaya menyediakan perumahan awam atau sosial untuk 80% rakyatnya.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya percaya sasaran penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 mampu dicapai.
PETALING JAYA:
Dasar Perumahan Negara sedia ada akan dikaji semula termasuk mengambil kira beberapa contoh dasar perumahan negara lain termasuk di Singapura.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, dasar perumahan di negara itu menekankan aspek pengurusan perumahan awam dan mampu milik, berdasarkan kejayaannya menyediakan perumahan awam atau sosial untuk 80% rakyatnya tanpa mengira bangsa.

“KPKT bersedia mengkaji inisiatif sedia ada, mencari insentif baharu dan memudah cara semua bentuk prosedur dalam kelulusan pemajuan perumahan supaya dapat memberi ruang kepada pemaju swasta bergiat aktif dalam menyediakan perumahan mampu milik berkualiti dan selesa untuk rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, melalui dasar perumahan baharu itu termasuk perancangan yang lebih teratur, kementerian berkenaan percaya sasaran penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 dengan kerjasama semua agensi perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan pemaju swasta, boleh dicapai.

Katanya, Dasar Perumahan Negara akan dikaji semula berdasarkan rangkuman intisari Madani supaya ia dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia.

KPKT berkata, Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak akan mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan senario rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menurut KPKT, kementerian turut bercadang mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar Madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.