Bakar al-Quran: Putrajaya patut panggil duta Sweden, desak ketua pembangkang

Bakar al-Quran: Putrajaya patut panggil duta Sweden, desak ketua pembangkang

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin Ahli Parlimen blok pembangkang mengambil pendirian bersolidariti bersama kerajaan susulan kejadian membakar al-Quran di negara Scandinavia itu.

Hamzah Zainudin mahu kerajaan memanggil duta Sweden ke Malaysia sebagai menyuarakan bantahan rasmi tindakan ahli politik sayap kanan negara itu membakar al-Quran di Stockholm.
PETALING JAYA:
Putrajaya dituntut memanggil duta Sweden ke Malaysia bagi menyuarakan bantahan secara rasmi terhadap tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan negara itu, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockholm, kelmarin.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, berkata Ahli Parlimen blok itu turut mengambil pendirian bersolidariti bersama kerajaan bagi mempertahan kesucian Islam dan menentang sebarang unsur Islamophobia, ekstremisme, radikalisme, kebencian serta keganasan.

“Ahli-Ahli Parlimen pembangkang juga menyeru kerajaan agar lebih proaktif dalam mengajak serta memimpin masyarakat antarabangsa agar bersama-sama menggalas tanggungjawab untuk menghenti dan menentang sebarang bentuk perilaku Islamofobia, xenofobia serta tidak bertoleransi terhadap hasutan atau dasar yang menyemarak keganasan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara itu.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dengan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Sementara itu, Hamzah berkata, jenayah kebencian secara terang-terangan tidak boleh dibiarkan atas apa juga alasan toleransi atau berselindung di sebalik dakyah kebebasan bersuara.

“Sweden perlu bertindak menghukum kesemua pelakunya kerana ia bukan kejadian pertama yang didalangi Rasmus Paludan dan kumpulan Stram Kurs,” katanya.

Kelmarin, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turki dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.