
Beliau juga menganggap pengisytiharan harta dilakukan sebelum ini hanya sandiwara kerana jumlah didedahkan tidak menggambarkan yang sebenar dimiliki mereka.
“Pengisytiharan aset adalah satu sandiwara pada masa lalu, orang (menteri) mungkin ada ratusan juta tetapi hanya isytihar RM11 hingga 12 juta,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada barisan menterinya sudah mengisytiharkan harta dan jika belum dilakukan, mengapa dan bila ia akan didedahkan kepada umum.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan proses pengisytiharan aset menteri lebih telus dengan menetapkan parameter yang betul.
Katanya, terdapat segelintir menteri sebelum ini tidak telus dalam membuat pengisytiharan aset sambil menyifatkan mereka seolah-olah mempersenda proses itu.
“Keutamaan (sekarang) ialah apa sahaja keputusan yang dilakukan lebih baik, bertanggungjawab serta telus, bukannya dibuat untuk gimik politik,” katanya.
November lalu, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), berkata semua Ahli Parlimen baharu dipilih terutama dalam Pakatan Harapan (PH) perlu membuat pengisytiharan harta selaras janji pilihan raya mereka.
Pengerusi C4, Terence Gomez, berkata Ahli Parlimen PH juga mesti mengisytiharkan harta pasangan masing-masing dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas sebagaimana dijanjikan dalam manifesto.
Beliau berkata, mengisytiharkan harta tidak sepatutnya menjadi amalan sekali sahaja selepas pilihan raya atau seseorang itu dilantik memegang jawatan menteri. Pengisytiharan harta perlu dilakukan setiap tahun, justeru rakyat dapat menentukan sekiranya ada kemewahan dikumpul ketika dalam jawatan.
Semasa PRU15, calon daripada PKR, Muda dan PSM mengisytiharkan harta mereka.
DAP berkata, hanya mereka yang menjadi calon dan menang diperlukan mengisytiharkan aset, manakala PAS merujuk tindakan isytihar harta sebagai “bodoh”.