
Rosli Abd Rahman, 58, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan lelaki itu didakwa melakukan kesemua perbuatan itu ke atas mangsa sama yang ketika kejadian berusia 16 tahun, di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang antara Nov 2020 hingga Nov 2021, lapor Bernama.
Sehubungan itu Rosli berhadapan lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol, dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.
Tertuduh turut berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 11 (a); satu pertuduhan di bawah Seksyen 14 (c); dan satu pertuduhan Seksyen 14 (d) AKSTKK 2017 yang boleh membawa kepada penjara maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim Nooriah Osman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 20 Feb untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Muhamad.