
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, suntikan dana itu bukan peruntukan dana yang berkesan. Ia kelihatan seperti “kerja tergesa-gesa”, tambahnya.
“Ini masalah yang sudah lama berlaku; setakat mencampakkan sejumlah wang yang besar ke dalam situasi yang buruk, tanpa pemahaman yang lebih mendalam tentang isu terbabit, tidak akan membawa penyelesaian jangka panjang yang bagus,” kata Rosli kepada FMT.
Bagaimanapun, bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan memuji pelaburan kerajaan, kerana Prasarana sudah lama memerlukan naik taraf infrastruktur bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat.
Ketua Eksekutif Prasarana Azharuddin Mat Sah pada Isnin berkata, peruntukan RM2.8 bilion daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan itu akan melibatkan semua perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Prasarana.
Rosli berkata, pengurusan Prasarana mesti dirombak. Pengendali rel itu tidak perlu mempunyai banyak lapisan pengurusan antara syarikat induk dan anak syarikatnya, seperti Rapid Rail dan Rapid Bus.
“Ini menjadikan Prasarana sebuah organisasi yang sangat kompleks dan ‘berat’ di atas. Prasarana perlu disuntik dengan ahli pasukan yang lebih cekap, yang menyokong pengangkutan awam.
“(Prasarana) adalah syarikat pengangkutan awam yang harus dilihat sedemikian, dengan operasi yang berkesan dan cekap. Itu sahaja, tiada yang rumit mengenainya tetapi ia memerlukan kakitangan yang cekap dan berkelayakan,” katanya.
Wan Agyl berkata, beliau faham rasional peruntukan itu, tetapi menyatakan bahawa kajian mesti dijalankan untuk menjamin RM2.8 bilion itu juga akan memenuhi permintaan pengangkutan masa akan datang.
“Kita bercakap tentang unjuran penumpang, kapasiti stesen, aliran penumpang, dan penaiktarafan persimpangan untuk menyediakan sambungan yang lancar dan pengalaman perjalanan yang lebih baik,” kata bekas ketua dasar dan perancangan operasi kumpulan SPAD itu.
Kedua-dua Rosli dan Wan Agyl bersetuju bahawa pihak berkuasa harus menangani isu sambungan titik pertama dan terakhir perjalanan.
“LRT memerlukan sistem sokongan bas yang berkesan untuk sambungan titik pertama dan terakhir. (Contohnya) bas mini sekolah boleh memainkan peranan yang berkesan untuk mengurangkan bilangan kereta di jalan raya dan menangani kesesakan.
“Kebanyakan masanya, bas ini tersedia tetapi peraturan semasa melarang mereka daripada menawarkan sebarang perkhidmatan kepada orang ramai,” kata Rosli.
Wan Agyl berkata, perkhidmatan “feeder” Prasarana tidak cekap.
“Pada masa ini, orang ramai enggan menaiki bas tetapi tidak ada banyak alternatif dan perkara ini akan menjurus kepada kehilangan produktiviti. Kita pernah ada SPAD untuk memantau penggunaan dana berbanding kemajuan dan pencapaian penting.
“Tetapi sekarang, saya rasa kita hanya perlu percaya dengan Prasarana untuk mencapai keputusan yang diperlukan, yang saya percaya boleh mereka lakukan dengan bimbingan kerajaan yang baik,” tambah Wan Agyl.