Lelaki ragut wanita di P Pinang ditahan polis

Lelaki ragut wanita di P Pinang ditahan polis

Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Simpang Ampang, Seberang Perai Selatan jam 12.15 tengah malam semalam.

Sedutan video menunjukkan suspek yang menaiki motosikal meragut beg tangan mangsa di sebatang jalan di George Town, Pulang Pinang pada Khamis lalu. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Polis menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah kerana terlibat dalam kejadian ragut beg tangan seorang wanita sehingga mangsa cedera di tangan, di Lorong Selamat, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Simpang Ampang, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini, pada jam 12.15 tengah malam semalam, hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu disyaki terlibat dengan beberapa kes ragut di negeri ini termasuk dua kes ragut di kawasan George Town tahun ini.

“Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah telefon bimbit, baju, topi keledar, tiga kad bank dan wang tunai, serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk siasatan lanjut,” katanya.

Soffian berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine, selain turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga 18 Jan, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan.

Video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden wanita itu, dilihat diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

Lelaki itu menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian kira-kira RM2,800.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.