
Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata, Umno kekal tenang terutama ketika PRU15 lalu sehingga menjadi sebahagian daripada kerajaan kini, di sebalik pelbagai gelaran nakal dilemparkan seperti kluster mahkamah.
Beliau turut memuji sikap parti barunya, yang menurutnya telah membawa politik damai meskipun diserang dengan pelbagai tohmahan.
Katanya, PRU15 lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) diterajui Umno mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah apabila hanya menang 30 daripada 222 keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
“(Tapi) selepas PRU15, tak ada satu parti yang boleh bentuk kerajaan. Maka ada keperluan untuk berpakat dengan DAP.
“Kita tak boleh menafikan DAP sebagai satu parti yang dianggotai rakyat Malaysia, Umno-BN dan sekutunya juga parti rakyat Malaysia. Maka keperluan untuk bekerjasama itu pasti ada,” katanya menurut Malaysiakini.
Sementara itu, Khairuddin turut memuji pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim yang menurutnya menjadikan keadilan rakyat tanpa mengira kaum dan agama sebagai hala tujunya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan hari ini agar tidak mengulangi “kesilapan lama”, merujuk kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
“Kesilapan lama contohnya DAP terlalu laju dalam menuntut apa yang dia perjuangkan hingga meresahkan sebahagian besar masyarakat Malaysia, terutama dalam kalangan Melayu-Islam.
“Kita tak mahu lagi pertembungan antara kaum, antara agama dan ini tidak bagus untuk rakyat,” katanya.
PAS dan Umno antara parti yang lantang menyerang DAP sebelum ini. Sementara nada kritikan PAS kekal sama, Umno pula dilihat kian “lunak” dengan parti itu sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Ia dapat dilihat dalam ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan ketika merasmikan persidangan sayap Umno sempena perhimpunan agung parti itu semalam, yang antara lain menyebut tindakan menyerang DAP tidak menjadikan Umno semakin kuat dalam kalangan orang Melayu.
Mohamad turut menyifatkan DAP “tidak bermuka-muka dan berpura-pura” dalam menjalinkan kerjasama.
Dalam pada itu, Khairuddin mengkritik tindakan sesetengah pemimpin Umno yang menurutnya seperti mengajar ahli politik dari parti lain untuk mengkhianati parti mereka sendiri.
“Kamu pecah, kamu perintah. Ini cara nak pecah perintah, dengan menarik sebahagian daripada Umno untuk menyokong PN (ketika PRU). Ia tak sepatutnya berlaku.
“Bila saya tak bersetuju dengan parti, saya keluar parti. Kita tak boleh kritik kesalahan parti. Saya hanya bertindak secara dalaman, orang tak tahu. Peringkat tertinggi saja (tahu) dan akhirnya (apabila) tidak bersetuju (dengan pimpinan), saya keluar parti.
“Saya kritik apa yang boleh saya kritik, bukan sebagai ahli parti. Kalau ahli parti kena taat dengan parti,” katanya lagi.