
Beliau percaya penglibatan Perikatan Nasional (PN) akan membuahkan kemenangan di Melaka, yang bersiap sedia untuk PRN dijangka tahun ini, dan di banyak negeri lain.
“Melayu akan lebih baik jika PN-Umno bersama,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu ini kepada FMT.
Beliau mengulas seruan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh supaya Umno dan PAS membentuk pakatan bagi PRN Melaka.

Kelmarin, Akmal berkata perpecahan politik Melayu melemahkan pengaruh mereka walaupun di kawasan majoriti orang Melayu.
Menurut Adun Merlimau itu, PRN Melaka patut menguji kerjasama politik antara dua parti Melayu-Islam terbesar itu.
Kerjasama yang pernah terjalin antara Umno dan PAS menerusi Muafakat Nasional terkandas susulan pertikaian mengenai Bersatu.
Pada Okt 2022, Presiden Umno Zahid Hamidi dilapor berkata jalinan kerjasama dengan Bersatu tidak rasional memandangkan parti itu diwujudkan dengan matlamat untuk menamatkan Umno dan BN.
Yadzil yang juga ketua pembangkag DUN Melaka bagaimanapun percaya kerusi-kerusi campuran akan lebih mudah dimenangi jika Umno dan PN bergabung.
“Inilah kerusi yang akan menambah jumlah kerusi bagi pihak PN maupun Umno,” kata Adun Bemban ini, salah seorang daripada tiga wakil rakyat PN di DUN Melaka.
PRN 2021 menyaksikan Umno menawan 17 kerusi manakala MCA dua dan MIC satu. Bersatu terpaksa berpuas hati dengan dua kerusi. BN seterusnya membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, menerusi empat Adun DAP dan seorang Adun Amanah.
PAS memperoleh satu kerusi apabila seorang wakil rakyat Umno, Jailani Khamis, dilaporkan menyertai parti itu pada 2023.
Penggal lima tahun DUN Melaka akan berakhir Disember ini.