
“Jawatan naib presiden ke bawah dibuka seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2022.
Naib presiden Umno ketika ini adalah Ismail Sabri Yaakob, Khaled Nordin, dan Mahdzir Khalid.
Umno hari ini meluluskan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden melalui pungutan suara, di sebalik perbezaan pandangan dalam kalangan perwakilan.
Pemilihan Umno perlu dibuat sebelum 19 Mei.
Zahid berkata keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada hari ini agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan, selari dengan kenyataan beliau sebelum ini bahawa ia diserahkan kepada perwakilan untuk menentukan.
“Maka keputusan tadi adalah keputusan muktamad sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa kami berdua (Zahid dan Mohamad Hasan) menyerahkan soal ini kepada perwakilan,” katanya.
Ketika ditanya apakah tindakan parti sekiranya keputusan PAU itu dicabar oleh mana-mana pihak, Zahid berkata ia akan diserahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menentukan tindakan selanjutnya.
“Kita serahkan kepada pengerusi Lembaga Disiplin dan penasihat undang-undang parti untuk menentukan perkara itu,” katanya.
Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata keputusan PAU pada hari ini tidak memberi sebarang impak negatif kepada parti kerana ia adalah kehendak akar umbi sendiri.
“Soal itu (presiden dan timbalan presiden takut untuk bertanding) tidak timbul kerana kita lihat bahawa perwakilan itu dari akar umbi. Akar umbilah yang mahu perpaduan dan penyatuan parti itu diutamakan.”