Saya tak pernah tinggalkan Umno, KJ ingatkan Bung Moktar

Saya tak pernah tinggalkan Umno, KJ ingatkan Bung Moktar

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin minta tempoh beberapa minggu sebelum sedia jawab spekulasi kemungkinan beliau kembali ke Umno.

Khairy Jamaluddin
Selepas dipecat daripada Umno pada Januari 2023, Khairy Jamaluddin beralih ke bidang media dan perniagaan termasuk menjadi hos bersama audio siar ‘Keluar Sekejap’. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin mengingatkan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin bahawa beliau tidak pernah meninggalkan Umno, sebaliknya parti itu yang memecatnya.

Bekas ketua pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal itu dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana didakwa melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno mengulas mengenai kemungkinan Khairy kembali ke parti, dengan Bung Moktar semalam menasihatinya kekal komited kepada Umno sekiranya buat keputusan untuk kembali dan tidak meninggalkan parti sekali lagi.

“Biar saya jelaskan: Saya tidak pernah meninggalkan Umno. Kamu yang memecat saya,” kata Khairy di Instagram.

“Tolong jangan cuba untuk menulis semula sejarah,” katanya sambil menambah terdapat banyak laporan berita dalam talian yang mengesahkan pemecatannya.

Khairy turut memuat naik tangkap layar laporan berita yang memetik Bung Moktar sebagai berkata walaupun Umno tiada masalah menerima Khairy, namun beliau perlu kekal komited kepada parti jika kembali.

Bekas menteri kesihatan itu juga meminta tempoh beberapa minggu sebelum beliau bersedia untuk menjawab spekulasi kemungkinan beliau kembali ke Umno.

Khairy secara terbuka mengkritik Presiden Umno Zahid Hamidi menjelang PRU15, terutamanya selepas Barisan Nasional (BN) mencalonkan beliau di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.

Beliau tewas kepada calon PKR R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi.

Khairy turut menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden Umno selepas prestasi buruk BN pada PRU15 — yang merupakan pencapaian paling lemah parti itu dalam sejarah pilihan raya.

Beliau juga enggan merayu terhadap pemecatannya, dengan alasan ia tidak berguna kerana individu yang mahu menyingkirkannya masih berada dalam parti.

Bagaimanapun, pada Julai lalu, beliau berkata akan mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh untuk membantu memudahkan kepulangannya ke dalam parti.

Sejak meninggalkan politik, Khairy beralih ke bidang media dan perniagaan.

Beliau menjadi hos bersama audio siar ‘Keluar Sekejap’ bersama Shahril Hamdan, penyampai di Hot FM, dan turut terlibat dalam beberapa aktiviti penceramah serta perniagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.