
Anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan berusia 34 tahun itu pernah menganggotai Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bukan mudah untuk disertai kerana perlu melalui cabaran mental dan fizikal.
Bercakap kepada FMT, gadis yang belum mendirikan rumah tangga itu berkata beliau mendapat latihan menjadi seorang pengawal peribadi ketika direkrut menjadi pegawai UTK pada 2014.

Sebelum itu, Ameyza bekerja sebagai juruwang di pusat membeli belah di ibu negara dan keazamannya mengubah kehidupannya serta keluarga menguatkan motivasinya bagi menyertai pasukan elit polis berkenaan.
Namun ia bukan mudah dan permohonannya pada 2007 pernah ditolak sebelum diterima dalam percubaannya kali kedua kira-kira lima tahun kemudiannya.
“Latihannya susah untuk seorang perempuan sebab mencabar mental dan fizikal. Wanita dan lelaki sama saja, latihannya sama. Cuma kita sebagai wanita, tenaga kita tak sama dengan tenaga lelaki, jadi ada bahagian yang kita tak boleh buat.

“Waktu itu tak ramai (pelatih wanita), mungkin ada dalam 10 orang. Tapi sekarang saya tak pasti, sebab saya dah keluar dari PDRM,” katanya yang kini menjadi pengawal peribadi kepada ahli perniagaan bergelar datuk.
Jadi perisai majikan
Bekas atlet larian itu berkata kerjaya sebagai pengawal peribadi tidak mudah dan boleh dikatakan “tiada kehidupan” yang mungkin menjadi punca mengapa beliau masih belum memikirkan untuk menamatkan zaman bujangnya.

Namun Ameyza bersedia menerima jejaka yang ingin menyuntingnya sebagai isteri jika bakal suaminya itu dapat memahami kesibukan tugasnya.
“Kalau ikutkan kerja sebagai pengawal peribadi ini, tak menarik sebab bermain dengan masa. Tak ada masa, tak ada kehidupan.
“Kalau dapat bos yang selalu sibuk, kita terpaksa ikut dia. Keluar pagi balik malam. Kalau dapat pula bos yang selalu pergi kelab malam, kita kena ikutkan? Kalau dapat bos yang jenis ramai musuh. Kita yang jadi perisai,” katanya.
“Kita yang kena selamatkan VIP kita. Kita kena risikokan nyawa kita. Orang cakap biar pengawal peribadi mati, jangan VIP mati,” jelasnya.
Selain tangkas menjaga keselamatan majikannya, Ameyza juga terkenal di media sosial dan mempunyai lebih 300,000 pengikut di Tik Tok manakala lebih 54,000 pengikut di Instagram.
Berkat kerja kerasnya, Ameyza kini mampu tersenyum puas apabila dapat menghadiahkan rumah dan kereta untuk keluarganya selain menanggung kos umrah untuk ibu bapanya.

“Perjalanan saya dari umur 17 tahun hingga sekarang 34 tahun ada naik turun, pernah hendak beli makan pun pakai wang syiling…sekarang jadi pengawal peribadi dan orang kenal saya (di media sosial),” ujarnya sebak.