RM5.4 bilion untuk 22 projek air di Perak

RM5.4 bilion untuk 22 projek air di Perak

Ia meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menanam pokok buluh madu sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Taiping hari ini. (Gambar Bernama)
TAIPING:
Sebanyak RM5.4 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk 22 projek berkaitan air di Perak meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan yakin dengan siapnya semua projek oleh agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), rakyat akan menikmati bekalan air lebih terjamin, risiko bencana lebih rendah serta peluang ekonomi baharu berasaskan sumber air lestari.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, antara agensi terbabit adalah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA) serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

“Besar hasrat dan tinggi harapan saya untuk melihat gerak kerja bersepadu dan berterusan daripada setiap agensi dan masyarakat, terutama di peringkat persekutuan dan negeri dalam memastikan sungai atau alur air terjaga dan terpelihara,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Ketua Pengarah JPS, Mohamad Radzi Abdul Talib.

Sementara itu, Fadillah berkata, pemilihan Sungai Batu Tegoh sebagai tuan rumah sambutan tahun ini tepat, dengan keindahan alam dan kejernihan airnya yang menjadi tarikan pengunjung di Perak.

Menurutnya, di Sungai Batu Tegoh juga terletaknya Projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang siap pada 2024, dengan projek itu membuktikan sungai boleh menjadi lebih daripada sekadar sumber air dan berpotensi menjadi pusat rekreasi untuk menjana ekonomi setempat.

“Ia (projek itu) menghubungkan rakyat dengan sungai, membina rasa kepunyaan serta membuka peluang ekonomi melalui ekopelancongan dan aktiviti komuniti. Inilah konsep pembangunan inklusif.”

Fadillah berkata, Petra melalui JPS memperuntukkan RM1.05 juta untuk pembinaan DSK di Perak, termasuk di Sungai Batu Tegoh.

Katanya, negara dikurniakan 189 lembangan sungai utama, termasuk 11 di Perak, namun masyarakat tidak boleh berbangga jika kualiti sungai tidak terpelihara.

Beliau berkata, laporan terkini Jabatan Alam Sekitar menunjukkan 27 sungai di Malaysia masih tercemar dan statistik itu menjadi peringatan serta amaran buat masyarakat.

“Pencemaran sungai tidak berlaku secara semula jadi, sebaliknya berpunca daripada sikap manusia seperti pembuangan sampah, aktiviti perindustrian haram dan kegagalan mematuhi peraturan alam sekeliling. Sungai yang tercemar tanda kecuaian kita dalam menjaga amanah ini.

“Sekiranya sungai tercemar dan tersumbat akibat pembuangan sampah, ia akan menjejaskan kelancaran aliran air hujan, sekali gus meningkatkan risiko banjir. Sebaliknya jika sungai dijaga dengan baik oleh semua pihak, nyawa dan harta benda dapat dilindungi.”

Menyedari cabaran itu, Fadillah berkata, Petra melalui JPS melaksanakan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM), usaha bersepadu membabitkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan ketersediaan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan memulihara alam sekitar.

“Tahniah kepada Perak kerana lima pelan IRBM telah siap dan satu lagi dalam pelaksanaan. Saya berharap negeri ini akan menjadi contoh kepada negeri lain kerana melalui pelaksanaan pelan IRBM pengurusan sungai di Perak lebih terancang dan efisien.”

Berhubung Hari Sungai Sedunia, katanya, sambutan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu setiap tahun itu bertujuan menyuntik kesedaran betapa pentingnya sungai, dengan tema sambutan tahun ini “Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita” sebagai peringatan sungai nadi kehidupan masyarakat yang menuntut perhatian serta tanggungjawab bersama.

Beliau berkata, sungai membekalkan 97% air mentah negara dan kualiti air sungai menjamin kelangsungan bekalan air bersih.

“Inilah air yang digunakan di rumah, sekolah, hospital, malah menjadi nadi kepada sektor perindustrian dan pertanian negara. Maka, penjagaan kualiti sungai bukan saja isu alam sekitar, tetapi isu keselamatan negara, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

“Sambutan Hari Sungai Sedunia ini menyemai kesedaran sungai adalah khazanah alam tidak ternilai, warisan untuk generasi akan datang. Sungai yang bersih dan jernih mencerminkan kebersihan alam dan jiwa masyarakatnya.”

Pada majlis perasmian sambutan hari ini, Fadillah turut melawat reruai disediakan pihak penganjur serta menanam pokok buluh madu sebagai simbolik perasmian.

Turut diadakan Simbolik Penyerahan Laporan IRBM Perak, selain penyampaian Anugerah Khas Sumber Air kepada empat penerima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.