Penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dijangka lulus menjelang sidang Parlimen depan

Penubuhan Jawatankuasa Perubahan Iklim dijangka lulus menjelang sidang Parlimen depan

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung, berkata penubuhan jawatankuasa itu penting sebagai persediaan menghadapi fenomena perubahan iklim.

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung, berkata jawatankuasa itu penting dalam membantu kerajaan merangka hala tuju jelas mendepani perubahan iklim.
PETALING JAYA:
Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Perubahan Iklim dan Pembangunan Lestari dijangka akan diketahui sebelum sidang Dewan Rakyat yang akan datang, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Lee yang juga pengarah komunikasi PKR berkata, beliau mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul ketika pertemuan mereka di Parlimen petang tadi.

“Saya diberikan mesej yang agak positif dengan semangat yang positif daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Johari Abdul).

“Saya yakin akan ada perubahan kualitatif bukan sahaja kuantitatif,” katanya ketika sidang media di Parlimen.

Katanya, cadangan penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan usul yang pernah dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi ketua pembangkang tahun lalu.

Anwar tahun lalu mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perubahan Iklim dan Kemampanan di peringkat Parlimen.

Katanya, perkara itu penting dalam membantu kerajaan merangka satu hala tuju jelas bagi mendepani kemelut perubahan iklim.

Lee berkata, usul berkenaan penting sebagai persediaan negara menghadapi fenomena perubahan iklim seperti banjir besar yang melanda Terengganu dan Kelantan selain tragedi tanah runtuh di Batang Kali.

Justeru, beliau berharap usul yang dikemukakannya dapat diluluskan Parlimen.

FMT sebelum ini melaporkan, kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali pada 16 Dis lepas ialah kejadian kedua terbesar melibatkan jumlah mangsa maut selepas runtuhan Kondominium Highland Towers pada 1992 yang mengorbankan 48 nyawa.

Tragedi pada kira-kira 2.30 pagi itu membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 lagi terkorban, susulan tanah runtuh sehingga menimbus kawasan perkhemahan.

Selain itu, pada penghujung tahun lalu, tragedi banjir besar turut melanda negara menyaksikan Terengganu, Kelantan, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor terkesan akibat bencana berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.