Kes halang tangkap anjing, warga emas tak layak dibicara

Kes halang tangkap anjing, warga emas tak layak dibicara

Penilaian perubatan menunjukkan Patrick Khoo mengalami kemerosotan pemikiran sehingga sukar menjawab soalan mudah.

Patrick Khoo Kian Wui
Patrick Khoo didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret dimaklumkan warga emas, Patrick Khoo, yang didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu operasi, tidak lagi layak untuk meneruskan perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui menyatakan bahawa hasil penilaian mental oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati Khoo, 72, mengalami kemerosotan pemikiran sehingga sukar menjawab soalan mudah.

“Pihak perubatan mengesahkan beliau tidak layak menduduki perbicaraan atau memberi keterangan berdasarkan keadaan mentalnya sekarang. Beliau juga gagal menjawab soalan-soalan mudah.

“Malah, pihak doktor turut mengesyorkan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan,” jelas beliau.

Khoo sebelum ini diperintah membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Azizul Azzim Norehan, semasa operasi menangkap anjing liar pada malam 22 Mac 2023.

Menurut Lim, pihak pendakwaan akan mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara susulan laporan perubatan tersebut.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan 6 Mac ini untuk pihak pendakwaan memaklumkan keputusan muktamad kepada mahkamah.

Mahkamah turut mengingatkan penjamin Khoo, William Lim supaya memastikan kehadiran tertuduh pada prosiding akan datang.

Khoo diwakili peguam Rajsurian Pillai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.