
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata turut ditahan lapan suspek tempatan berumur antara 25 hingga 48 tahun iaitu enam lelaki dan dua wanita termasuk dua pasangan suami isteri dalam empat serbuan berasingan.
“Serbuan pertama dilakukan dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah di Serkam, Jasin melibatkan tiga suspek iaitu dua lelaki dan wanita. Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita.
“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki syabu anggaran berat 82.64kg bernilai RM2.975 juta dan 16.62kg pil ekstasi (RM831,000),” katanya pada sidang media di IPD Jasin.
Mengulas lanjut, Zainol berkata semua dadah syabu itu ditemukan dalam karung guni dan peket bungkusan teh seberat 1kg manakala pil ekstasi ditemui dalam plastik lutsinar dengan setiap satu bungkusan dianggarkan mempunyai 5,000 biji.
Beliau berkata, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman membuat tiga lagi serbuan pada hari sama dan menahan tiga lagi suspek masing-masing di Permatang Serai dan Kampung Pulai di Merlimau serta Kota Damansara dan Petaling Jaya di Selangor.
“Hasil risikan juga mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2022 dan ada antara mereka yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan suri rumah.
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan yang sama,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas tiga motosikal, empat kereta, barangan kemas, wang tunai dan beberapa keping mata wang asing milik sindiket dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM283,770.
Katanya, semua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.