Ambil iktibar, tangguh kemasukan pelancong China, PAS beritahu kerajaan

Ambil iktibar, tangguh kemasukan pelancong China, PAS beritahu kerajaan

Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS mencadangkan kemasukan pelancong dari China ditangguhkan sementara susulan penularan kes baharu Covid-19 di negara itu yang semakin serius.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

“PAS menyarankan kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memerhatikan perkembangan di China dan negara lain yang menerima kehadiran pelancong dari republik itu.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan kerajaan sebelum membenarkan semula kemasukan pelancong China ke negara ini.

“Bagi pelancong yang telah berada di negara ini, mereka perlu dikenal pasti dan diperiksa tentang status Covid-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pelancong yang tiba di Malaysia perlu menjalani pemeriksaan suhu untuk demam.

Pengumuman itu dibuat susulan berlaku kebimbangan mengenai lonjakan kes Covid-19 di China.

Menurut Zaliha, pelancong yang mengalami demam, bergejala atau mengisytiharkan diri (untuk simptom Covid-19) akan dirujuk ke pusat kuarantin, atau kepada pihak berkuasa kesihatan untuk pemeriksaan lanjut.

Pada masa sama, mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari selepas ketibaan, akan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen, dan sampel akan dihantar untuk ujian genom jika positif Covid-19, katanya.

Ini juga terpakai kepada mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan individu yang pergi ke China dalam tempoh 14 hari, atau menunjukkan penyakit seperti influenza (ILI) atau jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.