
Haniza, yang juga ADUN Lembah Jaya berkata, kepimpinan tertinggi parti “menolak sepenuhnya” Sng sebagai presiden.
“Kami mendesak pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat kesahihan Larry Sng sebagai presiden selepas Persidangan Agung Tahunan memutuskan Zuraida Kamaruddin mengambil alih jawatan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Haniza mendakwa Sng menggunakan PBM sebagai “batu loncatan” untuk mendapatkan pengaruh dan jawatan di peringkat nasional dan tidak memaparkan langsung nilai-nilai yang dipegang oleh parti.
Kenyataan beliau menyusuli kritikan Zuraida semalam terhadap cara Sng menguruskan parti, menyifatkan Ahli Parlimen Julau itu sebagai “tidak matang dan angkuh”.
Zuraida mendakwa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan Sng yang dilihat dangkal selepas sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.
“Ini termasuk tindakan beliau yang sebelum ini telah mengugut pemimpin-pemimpin lain dengan menggunakan kuasa beliau untuk menandatangani watikah sebelum PRU15 yang lepas,” katanya.
Tambahnya, Sng sepatutnya menyerahkan tampuk tertinggi parti kepadanya memandangkan perjanjian sudah dibuat ketika beliau menyertai parti itu pada Jun.
“Perkara juga telah diabsahkan melalui usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti di peringkat nasional, tetapi setelah PRU15 berlangsung Sng seolah-olah memungkiri janji,” katanya.