‘Peritnya tiada damai’ luahan kecewa Radzi terhadap krisis Bersatu

‘Peritnya tiada damai’ luahan kecewa Radzi terhadap krisis Bersatu

Naib presiden Bersatu harap dua puak bertelagah kembali berdamai walaupun perbalahan semakin memuncak.

radzi jidin, hamzah zainuddin, muhyiddin yassin n azmin ali
Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin (kiri) berkata semua pihak perlu ketepi rasa tidak puas hati di tengah perbalahan antara kumpulan menyokong Presiden Muhyiddin Yassin (dua kanan) dan Timbalan Hamzah Zainudin (dua kiri). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, meluahkan kekecewaannya dalam puisi bertajuk ‘peritnya tiada damai’ yang berunsur kiasan dipercayai merujuk kepada krisis dalaman parti itu.

Dalam hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Putrajaya berkata semua pihak dalam parti perlu berusaha bersatu padu dan mengetepikan rasa tidak puas hati serta kata-kata nista sesama sendiri.

Radzi juga berharap, dua puak bertelagah iaitu masing-masing yang menyokong Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalan Hamzah Zainudin, kembali berdamai walaupun perbalahan semakin memuncak.

“Biarpun suasana makin berhaba, mencari damai diterus jua, kerana disedari di luar sana, ramai mengharap kepada kita, demi agama, bangsa dan negara.

“Bukannya mudah mencari damai, bila percaya mula terlerai, hilanglah sudah aman permai, ibarat berkas lidi terburai, patahnya mudah bila dikirai,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas seorang lagi Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, secara terbuka menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Kiandee, Ahli Parlimen Beluran enam penggal, menuduh Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman Bersatu dan mahu kekal berkuasa dengan harapan suatu hari nanti akan dilantik semula sebagai perdana menteri.

Bersatu berdepan krisis dalaman selama berbulan-bulan susulan konflik kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah, yang juga ketua pembangkang.

Krisis itu membawa kepada desakan daripada kedua-dua puak supaya pemimpin masing-masing meletakkan jawatan, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah yang dipecat.

Desakan supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu semakin kuat susulan pertikaian dengan PAS mengenai jawatan pengerusi Perikatan Nasional, yang dilepaskannya pada 1 Jan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.