Gesaan Kiandee isyarat jelas krisis Bersatu tak boleh selesai secara senyap

Gesaan Kiandee isyarat jelas krisis Bersatu tak boleh selesai secara senyap

Penganalisis berkata tindakan Ronald Kiandee berpotensi cetus tekanan daripada pemimpin kanan lain sekali gus memburukkan lagi krisis Bersatu.

Semalam Ronald Kiandee gesa Muhyiddin Yassin letak jawatan presiden Bersatu kerana didakwa gagal mengurus krisis dalaman parti.
PETALING JAYA:
Kenyataan terbuka Naib Presiden Ronald Kiandee supaya Muhyiddin Yassin meletak jawatan presiden isyarat jelas krisis dalaman Bersatu tidak lagi boleh diselesaikan secara senyap.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Muhyiddin perlu segera mengurus dan menyelesaikan konflik bagi mengelakkan persepsi beliau ‘menggunakan baki kuasa yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukan sendiri’.

“Situasi menunjukkan ketegangan dalam Bersatu dah sampai tahap tinggi yang saya tak pasti berapa lama lagi Muhyiddin boleh bertahan. Secara teknikalnya dia boleh bertahan tapi nampaknya kuasa dan pengaruh semakin berkurang.

“Jika tidak, Muhyiddin akan dilihat menggunakan sedikit kuasa yang dia ada hanya untuk kekal berkuasa dan bukan untuk kebaikan Bersatu. Ini soal kepercayaan. Masih adakah kepercayaan terhadap Muhyiddin dalam Bersatu sendiri,” katanya kepada FMT.

Semalam, Kiandee menggesa Muhyiddin meletak jawatan kerana didakwa gagal mengurus krisis dalaman parti dengan berkesan sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

Kiandee turut mendakwa Muhyiddin menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi perdana menteri, termasuk menghalang laluan Timbalan Presiden Hamzah Zaiunui daripada memimpin Bersatu pada masa depan.

Namun, gesaan itu menimbulkan rasa kurang senang Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, yang kemudian menyarankan Kiandee pula meletakkan jawatan susulan kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah yang didakwa menjadi antara punca utama prestasi buruk parti itu pada PRN lalu.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata tindakan Kiandee berpotensi mencetuskan tekanan daripada pemimpin kanan lain terhadap Muhyiddin sekali gus memburukkan lagi krisis dalaman Bersatu yang semakin meruncing.

Katanya, kenyataan Kiandee yang juga ketua Bersatu Sabah akan mencetuskan gesaan daripada pemimpin utama lain supaya Muhyiddin berundur.

“Saya melihat nasihat ini datangnya daripada orang kanan Bersatu,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting pula mempunyai pendapat berbeza dengan menganggap tindakan Kiandee sebagai hipokrit dan berunsur populis.

“Ketika Bersatu dan PN ditolak mentah-mentah di Sabah, adakah beliau sendiri berundur? Atau lebih mudah menuding jari ke arah presiden, seolah-olah tanggungjawab hanya milik Muhyiddin seorang.

“Inilah masalahnya apabila suara yang datang dari naib presiden tanpa rekod perjuangan besar hanya menambah persepsi bahawa Bersatu berpecah dari dalam,” katanya.

Zaharuddin turut mencadangkan persidangan agung luar biasa diadakan bagi menyelesaikan kemelut kepimpinan secara demokratik melalui mandat akar umbi.

“Biarlah suara ahli menentukan, bukan retorik individu yang mahu menonjol,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.