
Cintanya pada muzik mekar sejak usia muda; beliau akan mengetuk-ngetuk meja dan kerusi mengikut nada muzik yang didengar daripada radio jirannya.
“Saya bayangkan saya seorang pemuzik yang hebat, malah mengikat getah pada sebuah tin (untuk dimainkan),” katanya.
Seorang rakan sekolahnya kemudian mencetuskan inspirasi buat Ho untuk belajar bermain gitar.
“Saya suka mendengar dia bermain (gitar), jadi dia ajar saya beberapa kod. Kemudian, saya teruskan belajar sendiri dan juga mula menyanyi,” katanya kepada FMT.
Ho seorang penyanyi, pemain gitar dan harmonika, juga penyanyi yodel, yang mula mencipta nama pada 1971 apabila muncul dalam program RTM, Bakat TV.
Sejak itu, beliau mengadakan persembahan di pub, acara korporat dan acara khas lain.
Pada 2017, beliau membuat penampilan dalam program Asia’s Got Talent.
Bagaimanapun, pada 2019, Ho membuat keputusan untuk bersara apabila mula kehilangan pendengarannya. Beliau juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, dan masalah pada prostat dan hatinya.
Persaraan Ho tidak kekal apabila beliau membuat penampilan semula pada 13 Mei tahun ini, di Damansara City Mall untuk acara “Relive Sweet Memories at Comeback Performance” bersama The Artisans Haven.

“Saya akan bermain muzik sehingga nafas terakhir, kerana muzik mengalir dalam darah saya, saya tidak boleh bersara,” katanya.
“Walaupun pendengaran saya masih belum pulih sepenuhnya, saya percaya saya masih boleh (bermain muzik). Saya harap dapat kumpul sedikit dana untuk tampung rawatan perubatan.”
Ho telah melancarkan dua album baharu yang menampilkan rakaman semula lagu-lagu lama dan lagu Krismas, pada harga RM30 setiap satu. Hasil jualan akan disalurkan untuk menampung rawatan perubatan Ho dan menggiatkan kerjayanya.
Hubungi FMT Helpline menerusi WhatsApp di 0193899839 untuk membantu Ho.