Larry angkuh, tak matang urus PBM, kata Zuraida

Larry angkuh, tak matang urus PBM, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin berkata sepatutnya jawatan presiden diserahkan kepadanya seperti mana yang sudah diabsahkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti.

Zuraida Kamaruddin menggambarkan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng sebagai dangkal dan sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.
PETALING JAYA:
Zuraida Kamaruddin menyifatkan presiden partinya, Larry Sng, sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan Parti Bangsa Malaysia (PBM), selain membuat ugutan.

Bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu yang juga bakal presiden PBM juga mendakwa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan dilakukan Larry kerana dilihat dangkal selepas sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, presiden PBM sepatutnya berbincang dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan ataupun membuat keputusan tertentu.

“Ini termasuk tindakan beliau yang sebelum ini telah mengugut pemimpin-pemimpin lain dengan menggunakan kuasa beliau untuk menandatangani watikah sebelum PRU15 yang lepas,” katanya dalam kenyataan.

Pada 18 Dis, dalam kenyataan di Facebook, Larry berkata penggantungan Chua Lian Chye dan Muniraa Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Tertinggi yang digantung sebelum PRU15, ditarik balik dan kedudukan dalam parti dikembalikan.

Kedua-duanya antara 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM yang digantung, pada 28 Okt, kerana didakwa tidak berdisiplin. Ia termasuk Zuraida, ADUN Lembah Jaya Haniza Talha dan ADUN Sementa Daroyah Alwi.

Sng berkata surat tunjuk sebab akan dihantar kepada 11 lagi Ahli Majlis Tertinggi parti. “Gagal menjawab secara bertulis dalam tempoh seminggu boleh menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk dipecat serta merta oleh parti.”

Zuraida ketika mengulas lanjut, berkata Larry sepatutnya menyerahkan tampuk tertinggi parti kepadanya memandangkan perjanjian sudah dibuat susulan penambahan kekuatan daripada anggota NGO Penggerak Komuniti Negara, yang diasaskannya pada 2017.

“Perkara juga telah diabsahkan melalui usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti di peringkat nasional, tetapi setelah PRU15 berlangsung YB Datuk Larry Sng seolah-olah memungkiri janji,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.