Khairy hijrah ke Umno Sungai Buloh

Khairy hijrah ke Umno Sungai Buloh

Khairy Jamaluddin berkata, keputusan berhijrah dari Rembau ke Sungai Buloh itu dibuat selepas perbincangan dengan pimpinan Umno bahagian.

Khairy Jamaluddin berkata, sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi di Parlimen Sungai Buloh, beliau tidak akan terus menghilangkan diri selepas tewas pada PRU15.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin secara rasmi berhijrah ke Umno Sungai Buloh.

Beliau berkata, penghijrahan itu untuk menjadikan Parlimen Sungai Buloh kubu kuat Barisan Nasional dan memenanginya pada pilihan raya akan datang.

“Saya datang bukan hanya nak bertanding, kalah terus hilangkan diri. Tidak.

“Saya kekal di sini sehinggalah kita menang Parlimen Sungai Buloh,” kata Khairy di TikTok BN Sungai Buloh.

Khairy yang mewakili rakyat Rembau selama tiga penggal sejak 2008 bertanding di Sungai Buloh pada PRU15, tetapi tewas kepada calon Pakatan Harapan yang menang dengan majoriti 2,693 undi. Bekas menteri kesihatan itu meraih 48,250 undi dalam pertarungan tujuh penjuru.

Beliau berkata keputusan untuk berhijrah itu dibuat selepas perbincangan dengan pimpinan Umno bahagian.

“Saya tidak suka tinggalkan (Umno Sungai Buloh) begitu sahaja dan saya rasa tidak adil kepada tuan-tuan dan puan-puan. Saya datang ke sini sebagai calon bidan terjun berprofil tinggi, bila tidak menang lepas itu terus cabut cari tempat lain.”

Khairy turut menyentuh mengenai pemilihan Umno, yang perlu diadakan dalam tempoh kurang enam bulan dari November lepas.

“Soal pemilihan nanti kita bincang adik-beradik macam mana nak buat.

“Nanti kita bincang sama-sama, macam mana kita nak susun Umno Bahagian Sungai Buloh ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.