Operasi SAR diteruskan, walau mangsa terakhir tanah runtuh ditemui

Operasi SAR diteruskan, walau mangsa terakhir tanah runtuh ditemui

Polis berkata, keputusan menamatkan operasi SAR akan dimaklumkan esok.

Polis berkata, operasi SAR masih diteruskan bagi memeriksa dan siasatan lanjut di tapak kejadian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama sembilan hari masih diteruskan, walaupun mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali ditemui petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, operasi SAR masih diteruskan bagi memeriksa dan siasatan lanjut di tapak kejadian.

Katanya, keputusan menamatkan operasi SAR akan dimaklumkan esok.

Beliau berkata, mangsa terakhir yang dijumpai pada 4.53 petang tadi adalah kanak-kanak lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 7 hingga 12 tahun.

Menurutnya, mayat itu ditemui dalam keadaan telungkup di tebing bukit, kira-kira 4m dari tapak perkhemahan sektor A (hill view) dengan kedudukan mangsa tertimbus pada kedalaman tanah 1.5m.

“Mayat ditemui dalam ‘sleeping bag’ dengan keadaan sempurna dan berpakaian, namun sudah mula mereput. Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya menurut laporan Bernama.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata, mangsa terakhir itu ditemui hasil korekan manual anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair dipercayai daripada mayat berkenaan.

Seramai 61 daripada 92 mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada 2.42 pagi 16 Dis lalu terselamat, manakala 31 lagi terkorban.

Mangsa korban terdiri daripada 18 orang dewasa dan 13 kanak-kanak.

Lebih 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi, khidmat unit anjing pengesan (K9) dan jentera berat terbabit dalam operasi SAR yang memasuki hari kesembilan hari ini.

Operasi SAR itu disifatkan mencabar kerana kedudukan runtuhan pada sudut 45 darjah dan luas, serta keadaan timbunan tanah yang tebal dan berlumpur, selain faktor cuaca tidak menentu menyebabkan ia ditangguhkan beberapa kali atas faktor keselamatan.

Dalam pada itu, rata-rata warganet menzahirkan kesyukuran susulan penemuan mangsa terakhir dan mereka turut menyuarakan penghargaan kepada semua anggota SAR yang bertungkus lumus dalam operasi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.