25 mayat mangsa tanah runtuh di Bandung Barat ditemui

25 mayat mangsa tanah runtuh di Bandung Barat ditemui

Seramai 81 orang dilaporkan masih hilang.

Anggota penyelamat mengangkat mayat mangsa tanah runtuh ke dalam ambulans di Kampung Pasirlangu, Bandung Barat, pada Ahad. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Sebanyak 25 mayat ditemui setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat, pada Ahad.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari, berkata semua mayat diserahkan kepada pasukan pengecaman mangsa bencana (DVI) polis Indonesia untuk dikenal pasti.

“Selain mangsa maut, 23 orang dilaporkan selamat, manakala 81 yang lain masih hilang.

“Jumlah mangsa dijangka berubah memandangkan lebih ramai mangsa dikesan dan proses pengecaman lanjut dijalankan pasukan DVI,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kejadian tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira 2.30 pagi Sabtu yang menimbus beberapa kawasan kediaman.

Selain faktor cuaca, Abdul Muhari berkata, bentuk muka bumi di lokasi kejadian turut memberi cabaran besar kepada pasukan penyelamat sepanjang operasi pencarian dilakukan.

“Berdasarkan pertimbangan teknikal di lapangan, operasi pencarian dihentikan buat sementara waktu dan akan disambung semula pada Isnin.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.