Sultan Muhammad sifatkan pemenjaraan saya ‘langgar prinsip keadilan’, kata Anwar

Sultan Muhammad sifatkan pemenjaraan saya ‘langgar prinsip keadilan’, kata Anwar

Perdana menteri itu berkata, beliau tidak meminta pengampunan daripada Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, namun baginda memberitahunya bahawa beliau akan diampunkan.

Selepas dipenjarakan selama 3 tahun berkait kes Liwat 2, Anwar Ibrahim menerima pengampunan diraja berikutan kejayaan PH dalam PRU14 pada Mei 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyifatkan pemenjaraannya sebelum ini sebagai “travesty of justice” (pelanggaran prinsip keadilan).

Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau tidak memohon pengampunan diraja daripada Sultan Muhammad, yang menjadi Agong ketika itu, sebaliknya baginda yang menghubunginya untuk memberitahu baginda akan memberikan pengampunan penuh.

“Saya mahu menjelaskan saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum,” katanya.

“Yang ambil inisiatif (memberikan pengampunan) itu adalah Agong ketika itu yang menelefon saya, dan menyatakan bahawa (baginda) akan memberikan pengampunan penuh kerana jelas ia suatu ‘travesty of justice’.”

Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana rasuah pada April 1999, dan sembilan tahun lagi pada Ogos 2000 atas kesalahan liwat.

Pada Februari 2015, beliau dipenjarakan sekali lagi selepas sabitan kes Liwat 2 dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Beliau menjalani hukuman tiga tahun sebelum menerima pengampunan diraja berikutan kejayaan PH pada PRU14 pada Mei 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.