
Bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa menjelaskan di Twitter bahawa undian sebegitu hanya akan dipanggil oleh pihak yang menentang usul.
Ketika usul percaya dibentangkan semalam, yang diluluskan melalui undian suara, Sivarasa berkata, pembangkang yang memutuskan untuk tidak memanggil undian belah bahagi.
“Daripada undian tersebut, jelas kepada Speaker Dewan Rakyat bahawa pembangkang hanya akan mendapat 74 undi. Akan terdapat 148 undi menyokong perdana menteri, tepat dua pertiga daripada Ahli Parlimen.
“(Langkah) tidak memanggil undian (belah bahagi) ialah taktik pembangkang kerana mereka tidak mahu 148 undi itu, majoriti dua pertiga (menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim), dirakam.
“Jadi, mereka tidak memanggil undian belah bahagi, yang hanya boleh dipanggil oleh pihak mereka,” kata Sivarasa, yang juga ketua biro undang-undang PKR.
Tambahnya, menyerahkan keputusan kepada undian suara bermakna usul itu diluluskan tanpa perlu mengira undi setiap Ahli Parlimen.
“Kita perlu faham prosedur Parlimen untuk faham kenapa pembangkang berbuat begitu.”
Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya enggan memanggil undian belah bahagi kerana menganggap usul percaya terhadap perdana menteri tidak perlu, memandangkan Anwar telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pembangkang juga tidak mahu terlibat dalam pengundian tersebut.
“Kita tidak minta undi (belah bahagi) dan pihak sana (kerajaan) pun tak minta,” katanya.
“Jadi, tiada angka terhadap usul undi percaya ini. Tiada 148 ke 160 ke … 222 ke, tak tahu. Itu bukan urusan kami.”