Terlalu banyak cuti sekolah, pengusaha kantin rayu lanjut moratorium sewa

Terlalu banyak cuti sekolah, pengusaha kantin rayu lanjut moratorium sewa

Persatuan pengusaha kantin khuatir cuti sekolah terlalu banyak boleh menjejaskan perniagaan.

Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia merayu kerajaan melanjutkan moratorium sewa kerana khuatir cuti terlalu banyak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) merayu kerajaan melanjutkan moratorium sewa, kerana dikhuatiri cuti sekolah terlalu banyak sehingga menjejaskan perniagaan.

Presiden Khairuddin Hamzah berkata mungkin hanya 16 hari sahaja kantin beroperasi pada Januari 2023 kerana cuti tambahan yang biasa diberikan sempena Tahun Baharu Cina, dan sebanyak 12 hari pada Februari mengikut takwim Kementerian Pendidikan.

Manakala pada Mac, kantin hanya beroperasi dua hari sahaja kerana puasa Ramadhan, dan lima hari pada April sekiranya tiada cuti tambahan sempena Aidilfitri.

“April masih bersekolah tetapi bulan puasa sehingga 21 haribulan. Selepas tu cuti hari raya. Biasanya akan ada cuti tambahan untuk hari raya. Sekiranya cuti tambahan diberikan seperti tahun-tahun sebelum Covid-19, ada kemungkinan kantin langsung tak beroperasi sepanjang April kerana puasa dan cuti hari raya,” katanya kepada FMT.

“Bulan Mei terdapat 16 hari persekolahan. Bulan Jun pula terdapat 17 hari setelah ditolak dengan cuti semester dan hujung minggu.”

Mengambil kira cuti yang terlalu banyak tahun hadapan, Khairuddin menjelaskan pengusaha kantin sudah pasti menghadapi masalah membayar sewa, bil utiliti, gaji pekerja, dan lain-lain kos.

“PPKSM bimbang senario ramai pengusaha kantin gulung tikar akan berulang lagi. Justeru itu, PPKSM berpendapat amat wajar sekiranya kerajaan memberi moratorium sewa kantin kepada semua pengusaha kantin sekolah. Ini dapat mengurangkan beban dan membantu kelangsungan perkhidmatan kantin sekolah yang baik,” katanya.

Pentadbiran lepas memberikan moratorium sewa kantin susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid-19.

Sehingga kini lebih 10,000 kantin bawah Kementerian Pendidikan di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.