
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick, berkata jumlah itu diperolehi hasil kaji selidik kementerian bermula bagi tempoh April 2020 hingga November 2022.
Katanya, jumlah tertinggi usahawan menutup operasi direkodkan pada April 2020 melibatkan 104,785 usahawan; Jun 2021 (37,415); Februari 2022 (17,371); dan November 2022 (33,838).
“Namun, kebanyakan usahawan yang telah gulung tikar (97.8%) menyatakan kesediaan untuk memulakan semula perniagaan dan bantuan utama yang diperlukan adalah dari segi geran, pembiayaan serta latihan dan bimbingan keusahawanan.
“Pada tahun ini, kementerian terus komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023 yang mengandungi 185 program dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 543,080 usahawan dan bakal usahawan,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Beliau berkata demikian mengulas soalan dibangkitkan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai jumlah usahawan gulung tikar sewaktu pandemik Covid-19 dan sehingga kini.
Ewon ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya juga akan meningkatkan program libat urus secara bersemuka untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan efektif.
“Selain itu, usahawan turut disaran supaya melayari platform sehenti dalam talian MyAssist MSME bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan (MeetMe),” katanya.