
Menjawab pertanyaan lisan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pengetua atau guru besar bertanggungjawab memastikan pengusaha kantin menjual makanan pada harga berpatutan mengikut sebut harga dalam perjanjian penyewaan dan pengurusan kantin sekolah.
Perjanjian itu ditandatangani oleh pihak sekolah yang mewakili kerajaan dengan pengusaha kantin sekolah.
Menurutnya, KPM melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Murid di sekolah bertanggungjawab memantau pengoperasian kantin bagi memastikan makanan yang dijual sentiasa bersih, bermutu, berkhasiat, selamat dan mencukupi bagi membantu proses tumbesaran murid dan dijual pada harga berpatutan.
“Sebagai langkah kawalan dan peringatan, KPM telah mengarahkan JPN, PPD dan pentadbir sekolah membuat pemantauan kantin dari semasa ke semasa berdasarkan buku panduan dan perjanjian penyewaan kantin melalui surat arahan pelaksanaan pemantauan berkala pengoperasian kantin sekolah dan peringatan pelaksanaan kendiri kantin di sekolah KPM melalui surat bertarikh 26 Mei 2022,” katanya.
Hassan meminta menteri pendidikan menyatakan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan harga makanan di kantin sekolah berada di paras yang rendah dan mampu dibeli oleh murid-murid.
FMT pada Januari melaporkan harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan awal tahun lepas susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.