
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob buat pertama kalinya secara rasmi selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10.
Pertemuan itu berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini.
“Mengadakan pertemuan dengan bekas perdana menteri Ismail di Putrajaya hari ini. Saya hargai kesudian beliau untuk bertemu dan bertukar pandangan terkait pelbagai isu semasa.
“Saya juga nyatakan penghargaan kepada beliau atas dukungan dan sokongan yang diberikan,” kata Anwar di Facebook.
Menjelang PRU15 bulan lepas, BN mencalonkan Ismail sebagai “poster boy” jika gabungan itu menang.
Bagaimanapun, BN hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, yang membawa kepada gabungan itu menyokong kerajaan perpaduan diterajui Anwar.